loading...
"Dah Nasib Aku Dituduh Perampas Suami Orang"
Saya seorang ibu kepada tiga orang anak yang masih kecil. Suami bekerja di kilang dan mengikut syif. Cutinya juga tidak menentu kerana perlu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh penyelia. Boleh dikatakan, kami hidup seadanya. Bila punya anak tiga, sudah pasti perbelanjaan bertambah. Saya mula berkira-kira untuk membantu suami menambah pendapatan.
Bincang punya bincang, akhirnya suami memberikan sedikit modal untuk saya membuka gerai menjual sup di gerai flat tempat kami tinggal. Pada permulaannya memang sukar kerana tidak ramai yang datang tetapi saya terus istiqamah kerana niat saya adalah membantu suami dan anak-anak dalam kehidupan yang cukup mencabar.
Alhamdulillah, benarlah kata orang. Bila semakin redha dengan ujian Nya maka adalah sesuatu yang Allah mahu kongsi. Alhamdulillah, perniagaan saya semakin mendapat permintaan daripada penduduk sekitar. Boleh dikatakan permintaannya agak tinggi dan saya juga sudah mulai merasai ada wang di tangan. Semuanya saya gunakan untuk membantu suami dan persekolahan anak-anak.
Namun enam bulan selepas berniaga, saya mula mendengar cerita yang tidak enak mengenai saya. Ada jiran bertanya, adakah benar saya menjadi punca kepada keruntuhan rumah tangga jiran tetangga saya.
Terkejut besar saya mendengarnya kerana saya tidak tahu apa-apa.
Mulanya saya diamkan saja kerana seingat saya, saya tidak pernah melayan mana-mana lelaki. Saya menghormati suami. Kalau yang datang pun biasanya pelanggan saja. Ramah saya bertempat sekadar melayan mereka sebagai pelanggan.
Tapi angin mengatakan saya meruntuhkan rumah tangga orang semakin bertiup kencang. Ia menjadi buah mulut ramai. Hal ini juga sampai ke pengetahuan suami sehingga dia ada bertanya adakah benar saya melayan lelaki semasa berniaga. Saya berani menyatakan kebenaran kerana saya bukanlah begitu.
Asakan pertanyaan daripada suami membuatkan fikiran saya berputar. Memang ada seorang dua, jiran lelaki yang gemar berlawak semasa membeli jualan saya. Kata mereka, saya pandai memasak dan untung suami bila mana isterinya pandai memasak. Mereka juga memuji saya masih muda dan cantik.
Ada sesekali ketika membayar, tangan kami bersentuhan. Tapi perkiraan saya, itu secara tidak sengaja.
Saya menghormati mereka sebagai pelanggan. Saya juga tidak berniat menggatal dengan mereka kerana saya tahu siapa diri saya. Tetapi angin terus bertiup kencang bila ada yang menuduh saya menggunakan bomoh untuk memikat lelaki berkenaan.
Malah saya juga pernah dimarahi oleh isterinya kerana dituduh mahu merampas suaminya. Saya menangis hari itu apabila dimaki kerana saya bukan begitu. Saya tidak pernah terniat merampas suami orang kerana saya juga mempunyai suami.
Saya akui sangat tertekan dengan tuduhan tersebut sehingga perniagaan saya mulai goyah. Sementara itu pelanggan lelaki yang dikaitkan dengan saya, masih makan di sini. Bezanya saya tidak nampak isterinya lagi.
Saya ada bertanya, ke mana isterinya pergi. Katanya, orang rumah balik kampung. Saya juga sempat bertanya kepadanya, adakah benar tuduhan orang yang saya mengganggu hubungan rumah tangganya. Bagi saya, tuduhan ini sangat berat apatah lagi saya bukanlah orang yang akan menggatal dengan lelaki lain.
Namun saya juga terperanjat akhirnya bila mana dia mengaku, memang menyukai dan sudah tertarik dengan saya. Masya-Allah, saya terduduk mendengar jawapannya.
Saya tanya kenapa jadi begini? Saya mencari rezeki kerana mahu besarkan anak-anak dan mendapat pendapatan keluarga. Saya adukan hal ini kepada suami dan dia meminta saya menutup saja gerai jualan. Saya akur dan ikut kehendaknya.
Bagaimanapun sehingga kini, saya masih tidak berpuas hati dengan tuduhan yang dilemparkan terhadap saya.
Apa yang harus saya lakukan demi membersihkan fitnah ini? Sejak berhenti berniaga, kami memang tiada pendapatan lebih. Apa cara terbaik untuk saya bersihkan nama? Bantulah saya!
loading...
0 Response to ""Mereka memuji Aku pandai MAsak.. Bila Bersentuhan di dapur dengan suami dia... Dia mula tuduh Aku perampas Suami orang !! ""
Post a Comment