'Memang Aku Sengaja Pakai Pakaian Selekeh & Kereta Buruk Bila Pergi Reunion'

loading...
Pada suatu petang pada hari cuti, seorang sahabat telah mengajak saya menemaninya ke kedai spare parts. Saya dengan rela hati menemaninya lalu kami pergi ke bandar Klang. 

Usai membeli barangan yang dikehendaki, dia mengajak saya mengikutnya ke majlis reunion rakan sekolah rendahnya. Sudah tentu saya rasa keberatan kerana saya tidak mengenali sesiapa di situ. Tambahan pula pada ketika itu saya berpakaian agak selekeh. Namun dia tetap mendesak saya mengikutnya membuatkan saya tiada pilihan kerana saya menumpang keretanya. Dia berjanji, perjumpaan itu hanya sekejap sahaja. 

Di restoran berhawa dingin itu, beberapa sahabat lamanya sudah mula datang dan berbual-bual di dalam kelompok-kelompok kecil. Di luar, terdapat deretan kereta-kereta mewah. Dia masuk berjumpa dengan mereka dan bertegur sapa. Rata-rata mereka sudah lama tidak berjumpa atau bertegur sapa secara bersemuka sudah berpuluh tahun. 


Saya pula turut bersalam dan diperkenalkan sebagai anak saudaranya. Apabila ditanya mengenai isteri dan anak-anak, sahabat saya menyatakan bahawa isteri dan anaknya terpaksa menghadiri kenduri jiran sebelah rumah. Saya hanya menjadi pemerhati di majlis itu sambil menghabiskan makanan yang terhidang. Saya dapat perhatikan sahabat-sahabat satu sekolah ini terbahagi kepada pelbagai kelompok. Ada kelompok guru, businessman, kakitangan kerajaan, suri rumah dan penyendiri. Sahabat saya disambut hambar oleh sahabatnya yang berstatus, mereka sekadar berjabat salam dan berbual bertanya khabar diri, keluarga, kerja dan kereta yang dipakai. Ya, itulah soalan yang ditanya oleh rata-rata mereka di majlis tersebut. 

"Woi! Kau pakai kereta apa sekarang?" 

Saya yang mendengar turut terasa jengkel. Ini perjumpaan sahabat sekolah atau perjumpaan show off kereta? Lebih memualkan apabila ada sahabatnya yang terang-terang bercerita mengenai perniagaannya yang besar, berkahwin dua, membeli pelbagai hartanah, ada pelbagai kereta mewah dan sering melancong ke luar negara.  

Sahabat saya hanya banyak tersenyum dan menganggukkan kepala. Tidak mahu merintang angin sahabatnya yang mendabik dada sudah menjadi orang ada-ada. Dua jam berlalu, sahabat saya mengajak saya pulang. Dia menemui sahabatnya yang lain dan memberitahu terpaksa pulang untuk menyertai isterinya di kenduri jiran rumah mereka. Rata-rata hanya bersalam dan kemudian terus berpaling berbual dengan sahabat yang lain, tidak mengendahkan sahabat saya lagi. Hanya ada dua orang sahabatnya sahaja yang mengekori sehingga kereta. Mereka masih berbual-bual. 

Kira-kira 20 minit dan bergelak ketawa, mereka bukan calang-calang orang. Salah seorang adalah pengarah agensi kerajaan dan seorang lagi ahli perniagaan. Mereka berkekek ketawa bercerita tentang peristiwa melastik burung, memedap ikan puyu di paya dan dihambat jiran setelah mencuri durian. 

Apabila ingin bersurai, saya tengok mereka berpelukan mesra dan saling bermaafan. Air mata mengalir di pipi masing-masing. Di dalam kereta, saya bertanya pada sahabat saya itu, kenapa dia tidak berpakaian cantik dan membawa kereta mewahnya? Dia mempunyai kereta BMW, Mercedes, Honda, Toyota Hilux dan beberapa lagi kereta mewah yang lain. Tetapi Proton Wira yang sudah berusia buruk ini juga dibawanya. 

"Memang saya sengaja. Saya nak melihat perangai sebenar sahabat-sahabat saya yang dahulu makan sepinggan dan susah senang bersama. Jadi akhirnya saya tahu saya sebenarnya hanya ada dua sahabat yang masih menganggap saya sahabat karib mereka. Sahabat tanpa syarat." katanya.

Saya diam dan termenung sendiri. Saya sedar bahawa rumah cuma tempat berteduh, kereta cuma alat pengangkutan, pakaian cuma alas diri. Kita mampu memiliki dan mengganti kesemuanya itu bila-bila masa bergantung kepada kemampuan dan pilihan yang ada di tangan kita. Ternyata harta yang dikumpul dalam hidup telah memisahkan banyak persahabatn. Namun jika hati masih ikhlas bersahabat tanpa syarat, persahabatan akan kekal sehingga ke hujung nyawa. 
loading...

0 Response to "'Memang Aku Sengaja Pakai Pakaian Selekeh & Kereta Buruk Bila Pergi Reunion'"

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close