loading...
Rakan luah rasa sedih, sahabat yang dikenal 20-30 tahun hanya memberi RM10 sahaja ketika datang menghadiri majlis perkahwinan anaknya. "Itu ke nilai kawan?" soalnya.
Namun, lelaki ini beri nasihat yang benar² deep untuk rakannya ini. Tersentap juga baca.
BODOH! Pelik betul orang macam ni. Buat majlis kahwin anak pastu niat nak dapatkan banyak duit dari tetamu yang datang. Bukan wajib pun salam kaut tu. Tu hanya adat semata-mata...
Kawan Yang Dikenali 20 Tahun Hanya Beri RM10 Untuk Majlis
Orang Melayu adalah bangsa yang kaya dengan adat resam. Adat itu juga membentuk jati diri seorang Melayu. Ada adat yang baik yang boleh diikut yang tidak melanggar hukum hakam agama dan ada juga adat yang tidak baik dan sangat ditegah di dalam islam.
Dari segi perkahwinan masyarakat Melayu dari dulu hingga kini selalunya akan memberikan hadiah kepada tuan rumah yang membuat kenduri perkahwinan. Bebeza sedikit jika dulunya mereka memberikan hadiah berupa barangan seperti kain, sejadah, beras, gula dan lain-lain. Namun, peredaran zaman telah merubah sedikit adat ini yang diamalkan sejak dahulu lagi.
Kini, ramai yang memilih untuk memberikan duit atau “salam kaut” jika pergi ke majlis perkahwinan. Ini adalah sekadar adat dan bukanlah menjadi satu kewajipan di dalam Islam. Tetapi agak pelik apabila ada “tuan rumah” yang sangat mengharapkan untuk mendapatkan “duit” dari tetamu.
Ini menyebabkan niat sebenar untuk membuat majlis walimatulurus perkahwinan itu sedikit menyimpang. Niat bukan untuk memberikan tetamu makan tetapi untuk mendapatkan duit dari tetamu. Islam sangat melarang perkara sedemikian.
IKUTI KISAH INI…..
Hari ini hujan lebat sejak awal pagi dan sejuknya mencucuk hingga ke tulang hitam, dan saya mula terdetik mungkin inilah sebabnya ramai orang bernikah kahwin pada bulan september. Buktinya, di wall fb saya ramai benar sahabat saya meraikan ulangtahun perkahwinan mereka pada bulan ini. mmm… Saya juga tidak terkecuali.
Mengenai kahwin bulan september, sebenarnya saya sudah menerima tiga undangan perkahwinan bagi tarikh 17/9/2016. Sementelah ia adalah hari sabtu, dan cuti sekolah pula. Ia juga masa yang sesuai berkahwin dan membuat persiapannya memandangkan hari jumaatnya 16/9/16 adalah hari cuti umum Hari Malaysia. Di awal minggunya pula hari raya korban. Bakal pengantin boleh bercuti panjang mempersiapkan majlis dan diri. Inilah masa terbaik juga bagi keluarga dan sahabat untuk meraikan mempelai di hari bahagia mereka.
Bercerita mengenai sahabat yang meraikan perkahwinan sahabat atau anak-anak sahabat, saya ada satu cerita. Ia berlaku tahun lepas. Ketika itu saya menemui sahabat saya itu setelah dia berjanji untuk memberikan sampul duit raya yang diterimanya semasa ‘salam kaut’ untuk simpanan saya. Ialah, sayakan pengumpul sampul duit raya. Dapat sampul terpakai pun tidak mengapa jika hati sudah suka dengan hobi ini.
“Man, ini semua sampul yang aku dapat masa majlis kahwin anak perempuan aku tu. Ada yang cantik dan ada yang dah renyuk berlipat. Kau pilih sendirilah ye”, katanya setelah kami memesan minuman di restoran mamak pada malam itu. Saya menerimanya dan mengucapkan terima kasih. Sebagai orang yang beradap, saya tidak terus membeleknya biarpun hati saya begitu gelojoh untuk melihat sampul-sampul itu. Saya sekadar meletakkannya di sisi saya dengan hormat. Saya mula berbual kosong mengenai kelancaran majlis anaknya itu.
” Alhamdulillah semua berjalan lancar. Harga lauk dan katering dapat balik, tapi tak ada untung sangatlah”.
“Cuma aku sedih bila malam tu buka sampul yang diorang bagi tu, ada juga letak tisu kosong. Tak kisahlah!. cuma aku sedih ada kawan yang dah 20-30 tahun berkawan tetapi bagi rm10 je. Itu ke nilai kawan?’, katanya meluah perasaan yang terbuku di hatinya. Saya membiarkannya terus meluah rasa dan akhirnya saya mula bersuara.
” Bang, kalau saya, saya sepatutnya tidak menerima duit itu biar berapapun nilainya”. Dia tersentak.
” Kita buat majlis kahwin anak untuk beritahu orang anak kita sudah berumah tangga. Kita mahu ia diraikan dan dikenali oleh sanak saudara dan rakan taulan. Sanak saudara pada saya perlu bagi duit salam kaut itu sebagai tanda hormat, orang tua-tua kita dulu biasa buat. Cuma masa dulu mereka bagi kain sarung, kain batik atau beri beras untuk pengantin mulakan hidup sendiri. Bagi sahabat, pada saya datang tunjuk muka dah memadai. Kalau dapat kawan yang dapat datang bantu masa kenduri lagi bagus”.
“Kenapa saya cakap begitu?”, soal saya. Dia mengangguk, mahu tahu.
“Sanak saudara tetap sanak saudara, hubungan nasab itu membawa sampai mati. gaduh hari ini, esok lusa berbaik semula. Tapi sahabat lain hubungannya. Ada orang bersahabat untuk diri sendiri sahaja, suami dan isteri mereka tidak bersahabat dengan sahabat suami atau isteri mereka. Jadi apabila suami isteri mereka meninggal dunia atau bercerai, persahabatan itu putus”.
“Alangkah indah jika kita bersahabat dan melanjutkan persahabatan itu hingga kepada anak-anak kita. Tak semestinya kita bersahabat kerana dia kaya dan berkedudukan politik atau berpangkat dalam sesuatu syarikat untuk dapat kabel, tetapi sebagai pihak rujukan dan nasihat apabila kita sudah tiada atau anak-anak perlu nasihat berkecuali. Abang nampak tak ‘point’ saya?”, soal saya. dia angguk, sambil menghirup perlahan nescafe panasnya.
“Kita rasa buat kenduri hari cuti atau cuti sekolah semua orang senang datang, kita silap. Ada masa sahabat kita tu sebenarnya dah tempah percutian keluarga dia dah 6 bulan atau setahun awal. Untuk menghormati kita, dia terpaksa ubah cuti. kadang-kadang pakej tak boleh ubah dan duit mereka ‘burned’ begitu sahaja. Ada juga yang kena caj tambahan. Lagi sedih apabila sahabat itu terpaksa bermasam muka dengan isteri dan anak-anak mereka semata-mata ingin hadiri kenduri kita atau anak-anak kita yang tiada kaitan dengan mereka. Kita tak tahu apa jadi di belakang kita semata-mata ada sahabat yang utamakan setiakawan itu”.
“Saya belum cerita bab kos perjalanan seperti minyak, tol dan ada juga sahabat yang terpaksa bermalam di hotel. Sukakah abang jika sahabat baik kita tidak dapat datang dan kirim duit RM100?”, soal saya lagi. Dia mengelengkan kepala.
” Jadi, jangan tengok RM10 yang diberi di tangan kita, tak perlu juga tengok atau tanya berapa duit yang sahabat kita habiskan untuk ke majlis itu, tapi tengoklah nilai bersahabatan yang membawanya ke majlis itu. Itu sudah lebih dari cukup. Apabila persahabatan dibina dengan nilai ikhlas, insyalllah sahabat itulah yang akan berada mengiringi kita ke kuburan nanti, yang akan menjadi mata telinga kita memerhati anak-anak kita dan akan menyebut nama kita dalam setiap doanya”.
Dia meluru ke arah saya dan memeluk leher saya sambil menangis. Saya cuma diam sambil menundukkan kepala. Saya biarkan dia menangis bagi membasuh noda menilai setiakawan semata-mata nilai salam kaut RM10.
SUMBER ASAL: Izman Pauzi
loading...
0 Response to "Kawan Yang Dikenali 20 Tahun Hanya Beri RM10 Untuk Majlis"
Post a Comment