Itu antara punca menyebabkan seorang lelaki sanggup bersekongkol dengan isterinya menculik seorang bayi pe­rempuan dari Wad Kanak-Kanak Hospital Tanah Merah, kelmarin.
Lelaki tersebut turut beranggapan dengan mendapatkan seorang bayi baharu kepada isterinya dapat menggembirakan kembali wanita tersebut yang mengalami keguguran cahaya mata pertama mereka pada Jun lalu.
Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, hasil siasatan, pihaknya mendapati suspek lelaki yang bersama isterinya menculik bayi berusia lima hari itu adalah normal.




Bagaimanapun katanya, semata-mata ingin membantu mengurangkan kemurungan isterinya lelaki tersebut sanggup melakukan apa sahaja.
“Wanita berkenaan mengalami kemurungan melampau seolah-olah membayangkan kejadian itu (keguguran anak) baru semalam berlaku. Pasangan tersebut berkahwin sejak dua tahun lalu dan masih belum dikurniakan anak. “Kita mendapati, lelaki itu menanggung kesedihan cukup berat apabila melihat keadaan isterinya.
 Suspek berusaha mencuri bayi lain bagi menggantikan anak mereka sehingga tidak sedar mereka melakukan kesalahan besar,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang kelmarin, pasangan suami isteri masing-masing berusia 26 dan 23 tahun itu bertindak di luar dugaan apabila menculik seorang bayi perem­puan berkenaan dari wad tersebut. 
Pasangan terbabit yang berpura-pura sebagai ibu bapa kepada bayi tersebut telah memperdayakan jururawat bertugas termasuk mengikuti semua prosedur discaj bayi dari wad berkenaan.
Bagaimanapun, polis berjaya menahan pasangan terbabit di kediaman mereka di Alor Hijau Bukit Ta­nah, Seli­sing, Pasir Puteh, kira-kira pukul 10 malam iaitu selepas enam jam mereka melarikan bayi berkenaan. 
Sementara itu, polis mengesahkan tiada pembabitan pihak ketiga dalam kes berkenaan sebaliknya didalangi pasangan suami isteri tersebut. 
Dalam pada itu, Din memberitahu, setakat ini, pihaknya telah mengambil keterangan lima individu termasuk pegawai keselamatan, jururawat dan doktor hospital berkenaan bagi membantu siasatan. 
“Suspek wanita yang ditahan reman bersama suaminya itu kini masih mengalami kemurungan dan kurang bercakap. Kita akan membantu dengan memberi khidmat kaunseling bagi memulihkan semangatnya,” ujarnya. - UO