Tragedi kren Makkah: Jangan terlalu berharap janji pampasan

loading...
Tragedi kren Makkah: Jangan terlalu berharap janji pampasan
KOTA BHARU: Keluarga mangsa tragedi kren tumbang di Masjidilharam, Makkah pada September tahun lalu dinasihatkan supaya tidak terlalu berharap dengan janji pampasan yang diumumkan Kerajaan Arab Saudi.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata janji yang dibuat kerajaan negara itu tidak disertakan perjanjian hitam putih.
Katanya, kerajaan difahamkan kes berhubung kren tumbang itu sedang dibicarakan di mahkamah Arab Saudi bagi menentukan siapa yang bersalah.
"Berhubung pampasan yang dijanjikan kepada keluarga atau waris mangsa yang cedera dan maut, hingga kini kita belum menerima sebarang maklumat berhubung perkara itu.
"Justeru, saya minta keluarga mangsa tidak meletakkan harapan tinggi kepada janji yang dibuat kerana ia tidak disertakan sebarang dokumen hitam putih.
"Ini kerana saya banyak menerima laporan mengatakan berlaku pertelingkahan dalam keluarga mangsa yang mula membahagikan harta pusaka dengan jumlah sumbangan yang dijanjikan itu," katanya pada Majlis Sambutan Aidilfitri di kediaman keluarganya di Taman Guru, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dilaporkan mengarahkan pemberian wang pampasan kepada keluarga mangsa tragedi berkenaan sebanyak SR1 juta.
Wang itu akan diberikan kepada keluarga setiap mangsa terkorban dan cedera serta mengalami kecacatan kekal akibat insiden itu.
Sementara mereka yang mengalami cedera akan diberikan pampasan SR500,000.
Dalam tragedi itu pada 11 September tahun lalu mengorbankan lebih 100 jemaah dari seluruh dunia termasuk tujuh dari Malaysia.
loading...

0 Response to "Tragedi kren Makkah: Jangan terlalu berharap janji pampasan"

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close