Tuesday, 10 January 2017

'Biskut Sembahyang Orang Cina' halal: JAKIM

Tags


Quote:
KUALA LUMPUR: 'Biskut Sembahyang Orang Cina' yang viral di laman sosial baru-baru ini, adalah halal dan dikeluarkan oleh Iced Gem, syarikat yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam satu kenyataan semalam, mengesahkan biskut terbabit juga tidak mengandungi lemak haiwan yang tidak halal atau bahan terlarang yang bercanggah dengan syariat Islam.

Unit Hal Ehwal Korporat Bahagian Hab Halal JAKIM, berkata semakan lanjut unit berkenaan mendapati biskut jenis itu turut didaftarkan dalam sistem mereka.

"Apa yang berlaku adalah kebanyakan pemborong menjualnya kembali dalam bentuk pembungkusan semula seperti timbang, sukat dan paket yang kecil. Malangnya, ada di antara pemborong berkenaan masih belum memohon pensijilan halal JAKIM.

"Perkara ini disebarkan oleh individu tidak bertanggungjawab, sekali gus mengundang keresahan dalam kalangan pengguna," katanya.

Sehubungan itu, unit berkenaan berkata pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati dalam memilih barangan makanan halal dan perlu bijak dengan mengutamakan produk biskut yang memiliki sijil atau logo Pengesahan Halal Malaysia atau logo Halal Luar Negara yang diiktiraf JAKIM.

"Untuk semakan lanjut berkenaan produk yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan Logo Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM, orang ramai boleh melayari www.halal.gov.my atau di aplikasi telefon pintar myJakim," katanya.


EmoticonEmoticon