loading...
FENDI menunjukkan ayam miliknya.
PERBANDINGAN saiz telur ayam biasa dan telur kecil yang ditemui Fendi.
Sepang: Seorang peniaga di sini tergamam apabila mendapati ayamnya menghasilkan telur saiz kecil iaitu sebesar syiling 10 sen pada Ahad lalu.
Fendi Baharudin, 45, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu pada keesokan hari apabila ayam hutan kacuk ayam kampung yang lebih dikenali sebagai Che Mek itu membuat bising.
Katanya, selepas diperiksa didapati ayam itu bertelur dan uniknya telur yang dihasilkan hanya sebesar syiling 10 sen atau lebih kecil daripada telur puyuh.
“Kejadian ini pertama kali sejak saya mula menjinakkan diri dalam penternakan ayam secara kecil-kecilan dua tahun lalu dan saya tidak sedar Che Mek sudah bertelur kerana tidak nampak telur berkenaan.
“Che Mek bertelur dua biji dengan saiz yang berbeza iaitu pada Ahad lalu dengan telur seberat dua gram dengan panjang kurang dua sentimeter (sm) manakala keesokan harinyabertelur sebiji lagi dengan berat empat gram dan panjang kira-kira 2.5sm,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di rumahnya di Taman Intan Baiduri, di sini, semalam.
Fendi berkata, dia berhasrat membawa telur terbabit ke makmal haiwan untuk membuat kajian terperinci bagaimana ia boleh sekecil itu.
“Kedua-dua telur ini dijaga rapi dan saya tidak benarkan sesiapa untuk memegang sesuka hati kerana ia sangat sensitif dan mudah pecah.
“Keterujaan menemui telur sekecil ini membuatkan saya mahu melihat sendiri kandungan di dalam telur itu, mungkin boleh lahir ayam yang paling kecil di dunia,” katanya.
Dia yang berasal dari Kuantan, Pahang berkata, dia menternak ayam hanya sebagai hobi untuk mengisi masa lapang selain mempunyai minat yang mendalam dengan haiwan itu.
“Bagaimanapun, sehingga kini saya tidak terfikir untuk menjual telur berkenaan atau Che Mek kerana mahu menyimpannya terlebih dahulu,” katanya. – Metro
loading...
0 Response to "Ayam bertelur sebesar duit syiling 10 sen"
Post a Comment